Definisi Taqiyah
Secara bahasanya, Taqiyah bermaksud menyembunyikan sesuatu kepercayaan di dalam hati, sedangkan di hatinya masih memegang kuat kepercayaan itu. Menyembunyikan kepercayaan di dalam hati bukanlah bermakna seseorang itu meninggalkan kepercayaan beliau. Ia juga hanya boleh di lakukan di dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja dan bukan setiap masa seperti yang dipercayai oleh orang-orang tertentu. Semua ini boleh dibuktikan dan dibenarkan oleh Al Quran dan Hadis(dari sumber ASWJ).
Secara ringkasnya ia bermaksud, berbohong/berpura-pura dalam keadaan yang sangat terdesak demi menyelamatkan nyawa, kehormatan dan harta.
Contohnya, saya telah diculik oleh teroros Wahabi, Al Qaeda, yang memang dikenali sebagai kumpulan pembunuh Syiah yang sangat terkenal. Mereka menyoal apakah mazhab saya. Jika saya menjawab Syiah, maka sudah tentu saya akan dibunuh. Oleh itu dalam keadaan ini saya dibenarkan bertaqiah, dengan mengatakan saya bukan Syiah. Sama juga kesnya jika saya diculik oleh kumpulan militan anti Islam, maka saya dibenarkan untuk bertaqiyah bahawa saya bukan seorang Islam. Inilah Taqiyah.
Dari perspektif Al Quran.
Ayat pertama:
Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. Al Quran(16:106)
Terdapat kesepakatan dikalangan para ulama bahawa ayat ini turun berkaitan dengan seorang sahabat mulia, Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kufur demi menyelamatkan diri dari siksaan kaum Quraish. Jalaluddin al Suyuti di dalam bukunya, berkaitan ayat ini menyebutkan:
Kaum Kafir telah menangkap Ammar ibn Yassir dan memaksa beliau untuk memuji tuhan palsu mereka dan mengutuk Nabi Muhammad(sawa). Mereka menyiksa beliau sehingga akhirnya beliau mengalah dan menyerah kepada permintaan mereka. Selepas kejadian itu, beliau kembali kepada Nabi dan menceritakan seluruh kejadian kepada baginda. Nabi kemudian bertanya kepada Ammar(ra) : “bagaimana perasaan di dalam hati kamu?” Ammar menjawab: “Aku redha dengan sepenuhnya agama Allah di dalam hati ku.” Kemudian Rasul membalas: “Jika kaum kafir berjumpa kamu dan membuat permintaan yang sama, maka ulangilah apa yang telah kamu katakan kepada mereka.” Kemudian turunlah ayat di atas.
Tafseer Dur al Manthur Jilid 4 m/s132, Cairo edition
Juga berkaitan:
وأما عمار فقال لهم كلمة أعجبتهم تقية
“Ammar mengatakan perkataan yang mereka sukai dalam keadaan taqiyah.”
Apabila insiden ini terjadi, orang ramai berkata kepada Nabi, “Ya Rasulallah, Ammar telah menjadi kafir.” Nabi membalas, ” Ini tidak mungkin. Ammar ialah seorang yang penuh dengan keimanan dari hujung rambut ke hujung kaki. Ia telah sebati dengan darah dan daging beliau.” Seketika kemudian, Ammar mendatangi Rasulullah dalam keadaan menangis, dan setelah baginda mengusap air mata Ammar, baginda berkata,: Apa yang terjadi? Jika kaum kafir memaksa kamu menyebut perkara yang serupa, ulangilah.”
Insiden ini diisytiharkan sahih oleh ramai Imam AhlulSunnah. Ibn Hajar Asqalani mengatakan bahawa “Sanadnya Sahih”(al-Deraya fi Takhrij ahadith al-Hidaya, volume 2 page 197). Imam al hakim berkata, ”Sahih mengikut kriteria dan syarat Syeikhain (Bukhari dan Muslim) ( al-Mustadrak, volume 2 page 357) sementara Imam al Dhahabi menyuarakan pendapat yang serupa(Talkis as Mustadrak). Begitu juga dengan Ibn Kathir(Irsyad Al Faqih).
Ayat kedua:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. Al Quran(3:28)
Imam Bukhari di dalam Sahihnya menyebutkan:
وقال {إلا أن تتقوا منهم تقاة} وهى تقية
“kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Inilah taqiyah.
Imam Ibnu Hajar al Asqalani dalam tafsir ayat di atas telah membawakan teks dari Imam Bukhari yang menyebutkan:
تقاة وتقية واحد۔۔۔ ومعنى الآية: لا يتخذ المؤمن الكافر وليا في الباطن ولا في الظاهر إلا للتقية في الظاهر فيجوز أن يواليه إذا خافه ويعاديه باطنا
“Taqatta dan Taqiyyah adalah perkara yang serupa. Maksud ayat ini ialah tiada seorang pun Muslim yang dibenarkan berkawan dengan orang kafir samada dalaman atau luaran, kecuali dalam Taqiyah. Adalah dibenarkan apabila seseorang itu takut kepada mereka tetapi seseorang itu mesti membenci mereka di dalam hati mereka.” Fatah ul Bari, Volume 12 page 313
Fakhruddin ar razi dalam tafsir ayat ini:
Tidak diragukan lagi, tiada keburukan di dalam mengamalkan Taqiyah jika seorang Muslim itu terperangkap di antara orang-orang kafir dan nyawa serta harta benda kepunyaannya terancam. Di dalam keadaan ini, beliau dibenarkan untuk menyembunyikan kebencian terhadap mereka. Malah, beliau patut bercakap dalam keadaan yang penuh dengan emosi dan keyakinan(bagi menambahkan keyakinan mereka terhadap ucapan kita). Hati beliau juga tidak boleh bersetuju dengan apa yang mulut beliau ucapkan. Taqiyah tidak mempunyai kesan terhadap hati seseorang, tetapi hanya memberi kesan kepada luaran seseorang.
Tafseer Kabeer, Volume 2, Page 626, Published Istanbul
Ini adalah di antara ayat-ayat Quran yang berkaitan dengan sahihnya penggunaan Taqiyyah. Dalam ayat-ayat ini, Allah swt telah menyebut berkali-kali, bahawa kaum Muslimin dibenarkan untuk bertaqiyaah, yakni menyembunyikan keimanan di dalam keadaan-keadaan tertentu yang mendatangkan mudharat kepada nyawa, maruah dan harta.
Pendapat Imam-imam AhlulSunnah terhadap Taqiyah.
1. Imam Bukhari merekodkan dalam Sahihnya:
Ayat Allah: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. Al Quran(16:106)
dan..
kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).(3:28)
Allah swt telah memberi keringanan kepada Muslim yang lemah, yang tidak mahu meninggalkan sesuatu yang telah Allah swt berikan kepada mereka. Orang yang dipaksa itu mestilah seorang yang lemah dan di dalam keadaan tidak dapat menolak dari melakukan apa yang disuruh oleh musuh.”
Al Hassan berkata: At Taqiyah(mengatakan sesuatu yang berbeza dari apa yang ada dalam hati) akan kekal sehingga hari kiamat.
2. Imam Fakhruddin Ar Razi semasa menceritakan tentang keadaan di mana boleh untuk bertaqiyah, mengatakan:
التقية جائزة لصون النفس ، وهل هي جائزة لصون المال يحتمل أن يحكم فيها بالجواز
Taqiyah adalah dibenarkan untuk perlindungan diri sendiri. Tetapi adakah ia dibolehkan untuk perlindungan harta? Kemungkinan besarnnya boleh. Tafseer Kabeer, Volume 4 page 170
Setelah beliau merekodkan kenyataan Hassan al Basri, Imam Fakhruddin turut menyebutkan:
عن الحسن : أنه قال التقية جائزة للمؤمنين إلى يوم القيامة ، وهذا القول أولى ، لأن دفع الضرر عن النفس واجب بقدر الإمكان
Taqiyah dibenarkan sehingga hari kiamat dan kenyataan ini adalah lebih baik kerana kita wajib melindungi nyawa kita dari bahaya.”
3. Jalaluddin Al Suyuti dalam kitabnya, ”al-Durr al-Manthoor Fi al-Tafsir al-Ma’athoor, diriwayatkan dari Ibnu Abbas, berkenaan pendapat beliau tentang Taqiyyah dalam ayat (3:28)
وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِى شَىۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَٮٰةً۬ۗ… Ibnu Abbas berkata:
“At Taqiyah itu hanyalah di lidah, untuk seseorang yang telah dipaksa untuk mengatakan sesuatu yang boleh mendatangkan kemarahan Allah swt, dan dalam keadaan hatinya redha dan menerima agama Allah swt. Oleh itu, at Taqiyah tidak mendatangkan keburukan kerana ia hanyalah di lidah, bukan di hati.”
Perhatikan di dalam ayat itu perkataan “Tattaqu” dan “tuqaatan” berasal dari perkataan yang sama dengan Taqiyyah.
4. Ibnu Abbas juga memberikan komentar yang sama seperti yang dinukilkan oleh Sunan Al Bayhaqi dan Mustadrak al Hakim:
“Adalah dibenarkan untuk mengucapkan kata-kata yang kafir di masa at Taqiyah dibenarkan.”
5. Sekarang mari kita perhatikan pula kepercayaan seorang Imam ASWJ yang bernama Shu’bi. Beliau wafat pada tahun 103H. Perlu diingat bahawa ketika wafat, beliau berada di bawah zaman pemerintahan kejam Bani Umayyah. Imam Ad Dhahabi dalam bukunya menyebutkan:
قال سليمان التيمي : كان الشعبي يرى التقية
Sulaiman al Tamimi mengatakan bahawa Al Shu’bi percaya kepada Taqiyah.(Siar alam al-Nubala, Volume 4 page 338)
6. Oleh kerana logiknya penggunaan Taqiyah sebagai strategi yang dibolehkan oleh Allah swt dalam menyelamatkan hamba-hambanya, ramai ilmuan dari Ahlulsunnah bersetuju dengan bolehnya penggunaan doktrin ini. Seorang ilmuan Sunni, Muhammad bin Aqeel Shaafi, menulis:
Saya berpendapat bahawa ilmuan Ahlulsunnah bersetuju dengan pendapat bahawa di masa-masa yang diperlukan, adalah dibenarkan untuk menipu dan ini ialah Taqiyah. Namun, jika kita menamakan perbuatan ini sebagai Tqiyah, maka tentulah akan mendapat tentangan dari ramai sarjana kerana terma yang sama turut digunakan oleh Syiah. Oleh itu perbezaan dalam perkara ini dalam Sunni dan Syiah hanyalah berbeza penamaan. al-Nasa’ih al-Kaafiyah page 109
7. Imam al Ghazalli dalam bukunya Ihya Ulumuddin:
Menjaga nyawa seorang Muslim ialah satu kewajiban yang mesti ditunaikan, dan berbohong adalah dibenarkan jika terancam nyawa seorang Muslim.
Inilah diantara ilmuan Ahlul Sunnah yang bersetuju dengan doktrin Taqiyah. Setakat ini saya telah memberi hujah dari Al Quran dan hadis serta pendapat para ulama Ahlul Sunnah sendiri yang membolehkan taqiah. Jadi di manakah tuduhan kamu wahai nasibi bahawa ini ialah bidaah dari Syiah?
Perbezaan antara Munafiq dan Taqiyah
Ada sesetengah dari mereka cuba untuk menyamakan taqiyah dengan sifat munafiq. Maka siapa yang mengamalkannya ialah munafiq. Ini sama sekali tidak logik kerana keduanya adalah perkara yang berbeza dari segi syarat penggunaan, keadaan dan bentuknya.
Al Quran telah menyatakan dan menyebutkan sifat-sifat orang munafiq dalam ayat berikut:
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”Al Quran(2:14)
Inilah ciri-ciri orang munafiq seperti yang disebutkan di dalam Quran, di mana dia menyembunyikan sifat kufur dan menampakkan keimanan. Sila bandingkan dengan ayat-ayat Taqiyah yang Tuhan turunkan seperti berikut.
1.Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.(16:106)
2.Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (3:28)
Taqiyah pula di lihat sebagai sesuatu yang jelas berbeza dari munafiq iaitu menyembunyikan keimanan dan menampakkan sesuatu yang sebaliknya dari keimanan itu. Malah untuk menggunakan Taqiyah ini juga bukan boleh suka hati sahaja tetapi ada syarat-syarat dan keadaan yang perlu dipatuhi.
Pendapat Ulama Syiah tentang Taqiyah.
Setelah memerhatikan pendapat ulama ASWJ tentang dibolehkan Taqiyah, sekarang mari kita dengarkan pula, apa pandangan sebenar ulama Syiah tentang perkara ini, dan jangan dengar dari pihak syaitan sahaja. Mereka itu ialah musuh yang nyata, mahukan keretakan ummah Muhammad dan suka melihat permusuhan antara saudara.
al-Shaykh Muhammad Ridha al-Mudhaffar, di dalam bukunya “Aqaid al Imamiyah” menyebutkan:
Al Taqiyah perlu mengikuti syarat-syarat khusus dan hanya boleh digunakan dalam keadaan wujudnya unsur-unsur bahaya. Syarat-syarat ini, yang banyak dibincangkan di dalam buku-buku fiqah juga turut dinyatakan keadaan bahaya yang bagaimana yang membenarkan penggunaannya. Bukanlah wajib mandatori untuk mengamalkan taqiyah pada setiap masa, malah, bertentangan dengan pandangan umum, dibolehkan atau kadang-kadang PERLU untuk meninggalkannya. Contohnya, dalam keadaan apabila kita menyatakan kebenaran akan lebih baik untuk perjuangan agama dan memberikan faedah yang lebih “direct” kepada Islam. Dalam keadaan ini, adalah lebih baik sekiranya kita mengorbankan nyawa dan harta kita. Sedikit tambahan, Taqiyah diharamkan jika keadaan kita bertaqiyah akan menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah atau akan menyebabkan tersebarnya kejahatan atau akan menyebabkan kesan negatif terhadap agama Islam.
Apapun, Taqiyah, seperti yang dipegang oleh Syiah, tidak menjadikan mereka sebagai satu kumpulan rahsia yang hanya mahu merosakkan dan memusnahkan, seperti yang didakwa oleh musuh syiah(contohnya tenterdajjal.blogspot.com), mereka melemparkan tuduhan memahami atau cuba untuk memahami pandangan kami dalam hal ini.
Ia juga tidak menjadikan Syiah melarang ilmu-ilmu dalam mazhabnya dibuka kepada mereka yang berada dalam mazhab yang sama. Bagaimana mungkin ini benar sedangkan buku-buku Syiah tersebar luas memaparkan pandangan dan ajaran mazhab kami dalam bidang Fiqh, Kalam dan Aqidah dengan jumlah cetakannya lebih dari mencukupi bagi mana-mana kumpulan yang ingin menyebarkan ajarannya.
Imam Khomeini dalam bukunya Kerajaan Islam turut menyebutkan perkara yang serupa iaitu Taqiyah ialah satu medium yang mana digunakan oleh pengikut agama Islam untuk menyelamatkan nyawanya dengan mengatakan atau berbuat sesuatu berlainan dengan kepercayaan hatinya dengan syarat wujudnya bahaya kepada nyawa. Bagaimanapun, beliau melarang sebarang taqiyah apabila mendatangkan kesan buruk kepada agama Islam. Contohnya bertaqiyah dengan menjadi hamba kepada pemimpin, yang menyebabkan kita membuat bidaah di dalam agama atau apa sahaja kerosakan.
Begitu juga jumhur ulama Syiah juga berpendapat tidak jauh berbeza dengan apa yang saya kemukakan di atas. Pengkaji kebenaran boleh lawati mana-mana laman web Syiah bagi membuktikan perkara ini. Antaranya di laman Islamic Laws yang merupakan satu laman mengumpulkan pendapat dan fatwa ulama-ulama tinggi syiah.
Cukuplah setakat ini untuk saya membuktikan dan menyimpulkan bahawa:
•Amalan Taqiyah dibenarkan berdasarkan dalil-dalil yang jelas dari Al Quran dan Sunnah.
•Taqiyah bermaksud melakukan satu perbuatan yang bertentangan dengan kepercayaan di dalam hati apabila berada di dalam keadaan BAHAYA.
•Bahaya yang dimaksudkan hanyalah apabila terancam nyawa,maruah dan harta.
•Taqiyah tidak dilakukan sentiasa dan haram dilakukan apabila membawa bahaya, kesan negatif kepada orang lain dan agama Islam.
•Ulama Sunni juga bersetuju dengan kehalalan Taqiyah malah sehingga hari Kiamat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar